IPOH: Mahu lari dari ditangkap polis ketika mencuri kabel, seorang lelaki cedera manakala rakannya berjaya meloloskan diri setelah kenderaan mereka terbabas sendiri.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian curi kabel Telekom Malaysia (TM) di Jalan Pasir Mas, Taman Mayfair, di sini pada Khamis pagi.

Katanya, sepasukan polis dari Balai Polis Pasir Puteh telah membuat rondaan cegah jenayah di lokasi itu dan mendapati dua lelaki dalam keadaan mencurigakan disyaki mencuri kabel.

"Suspek telah bertindak melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara. Hebahan bantuan dilakukan dan dua kereta peronda polis ditugaskan untuk mengejar kereta suspek.

"Bagaimanapun, kereta yang dipandu suspek terbabas sendiri, salah seorang daripadanya berjaya melarikan diri manakala seorang lagi tersepit dalam kereta.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut telah menemukan barang kes curi kabel Telekom Malaysia," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambahnya, suspek yang ditahan merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 58 tahun.

Ujar Yahaya lagi, suspek yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan dan disahkan mengalami kecederaan patah tulang selangka kanan.

Justeru katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (kesalahan mencuri kabel) yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut seksyen 186 Kanun Keseksaan (kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas).

"Polis sedang giat memburu seorang lagi suspek yang terlibat dalam kes ini. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Insp. Mohamad Hakim Al Balkhis di 011-11256246 untuk membantu siasatan," katanya.