KUANTAN: Polis Pahang berjaya menumpaskan dua sindiket curi kenderaan 'Geng Jering Chini' dan 'Geng Abu Pandan' yang dipercayai aktif sekitar Kuantan, kata Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau berkata 'Geng Jering Chini' yang dianggotai empat lelaki tempatan berusia 28 hingga 35 tahun dipercayai aktif sejak bulan lepas dan terlibat dalam tiga kes mencuri kenderaan serta empat kes samun dengan bersenjatakan pedang dan parang.

"Mereka dipercayai akan menahan mangsa di tepi jalan sebelum menyamun barangan kemas, telefon bimbit, wang tunai dan dokumen mangsa, selain mencuri motosikal di tempat awam dan kereta yang ditinggalkan dalam keadaan enjin tidak dimatikan.

"Nilai kerugian dianggarkan RM38,000," katanya pada sidang media di Stor Barang Kes Berpusat di Indera Mahkota di sini hari ini.

Ramli berkata semua suspek yang didapati positif dadah methamphetamine itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada serbuan di sekitar Paloh Hinai dan Felda Chini, Pekan yang dilakukan selama empat hari bermula 27 Disember lepas.

Serbuan turut merampas empat telefon bimbit, dua bilah parang dan sebilah pedang, tiga barang kemas dan dua kereta Proton Wira selain turut menemukan sebuah kereta Produa Axia yang telah dibakar.

Semua suspek direman sehingga 9 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkumpulan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Pada kes berasingan, polis juga menahan lima lelaki termasuk seorang bangsa Rohingya dipercayai anggota 'Geng Abu Pandan' berusia 22 hingga 52 tahun yang mencuri lapan kenderaan pelbagai jenis untuk dijual di kedai barangan lusuh di Indera Mahkota di sini, milik seorang daripada suspek.

"Kumpulan ini dipercayai mula terlibat sekitar April lepas dan mencuri kenderaan yang ditinggalkan di tepi jalan, hadapan bengkel atau kawasan parkir awam dengan menggunakan lori tunda milik seorang daripada suspek untuk dibawa ke bengkel bagi dipotong sebelum dijual," katanya.

Perbuatan mereka terbongkar apabila polis menahan seorang anggota kumpulan itu di Perkampungan Bukit Setongkol di sini pada 3.15 pagi, 21 Disember lepas yang membawa kepada penahanan baki ahlinya menerusi Op Lejang selama lima hari.

Pada operasi itu, polis merampas enam kenderaan pelbagai jenis, masing-masing sebuah enjin lori dan trak tunda dan 17 resit jualan besi kenderaan yang nilai keseluruhan kerugian dianggarkan berjumlah RM35,500.

Ramli berkata ujian saringan awal juga mandapati empat daripada lima suspek positif dadah. Semua suspek direman sehingga 6 Januari ini.

-- BERNAMA