KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mencuri RM500 daripada tabung sebuah masjid di Taman Nirwana, Ampang, Selangor.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jayav ACP Mohd Azam Ismail, pihaknya menerima laporan daripada bilal yang juga Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan semalam.

"Pada 6.49 pagi, pengadu menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati terdapat seorang lelaki berada di kawasan kaki lima masjid dan telah mengumpil tabung masjid selepas solat subuh lalu melarikan diri.

"Bagaimanapun, pada hari sama, jam 5 petang, polis telah menahan suspek di sebuah kediaman di Taman Angsana Hilir dan merampas wang tunai RM101 serta pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

Ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah jenis meth, tambahnya.

"Suspek kini dalam proses permohonan reman di mahkamah," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

"Jika sabit kesalahan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh 10 tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali," katanya.