Sebuah hospital kerajaan akan dibina di Cyberjaya dalam tempoh dua tahun akan datang yang menelan belanja kira-kira RM500 juta, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata hospital yang akan dibina berdekatan dengan kawasan Autoville itu kini dalam peringkat penyediaan dokumen untuk proses pembidaan terbuka yang akan dijalankan oleh Cyberview Sdn Bhd, syarikat milik kerajaan yang bertanggungjawab membangunkan Cyberjaya.

"Hospital itu secara langsung akan membantu mengurangkan kesesakan pesakit di Hospital Putrajaya dan Serdang serta memberi manfaat kepada penduduk di sekitar termasuk Cyberjaya, Puchong, Dengkil dan Sepang.

"Proses pemilihan kontraktor untuk pembinaan hospital itu dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan dari sekarang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Padang Bola Sepak Sintetik TSI, Cyberjaya di sini, malam tadi.

Menurutnya, pembinaan hospital itu akan membabitkan kawasan seluas 4.86 hektar.

Mengenai pelancaran padang bola sepak sintetik pertama di Cyberjaya itu, Irwan Serigar berkata ia merupakan padang bola sintetik kesembilan belas dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan di seluruh negara.

"Ini merupakan sebahagian perancangan kementerian untuk membina 30 buah padang yang sama membabitkan kos sekitar RM4 juta setiap satu di seluruh Malaysia menjelang tahun hadapan," katanya.

Menurutnya, dengan pembinaan padang seperti itu diharapkan agar mutu bola sepak negara mampu dipertingkatkan dengan tarikan lebih ramai anak muda untuk terlibat dalam sukan tersebut.