Polis menahan seorang wanita dan tiga lelaki serta merampas 103 gram dadah dipercayai syabu bernilai RM15,450 dalam dua serbuan di Kota Bharu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud, serbuan pertama dibuat oleh pegawai dan anggota Bahagian Narkotik ke atas sebuah rumah Isnin lalu di Jalan Masjid Seberang Salur, Nilam Puri dan berjaya menahan seorang wanita warganegara jiran berusia 34 tahun.

Hasil pemeriksaan ke dalam rumah itu menemui 50 gram dadah dipercayai jenis syabu.

Ibu kepada tiga anak itu kini ditahan reman selama 7 hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan.

Sementara itu, dalam serbuan kedua yang dibuat pada pada Selasa, berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 28 dan 34 tahun.

Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui 53 gram dadah jenis syabu dalam sebuah bilik.

Semua suspek lelaki itu kini ditahan reman sehingga Selasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berkaitan, polis turut menahan seorang lelaki berusia 42 tahun dan merampas sepucuk pistol jenis Comet automatik dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Telipot, Kota Bharu pada 17 Jun lalu.

Turut ditemui 16 butir peluru hidup serta satu kelonsong peluru yang disembunyikan dalam beg silang di bahagian tingkat atas rumah berkenaan.

Siasatan awal juga mendapati pistol itu dari negara jiran dengan harga RM2,500.

Abdul Rahim berkata, lelaki itu turut memiliki 13 rekod lampau berkaitan kesalahan narkotik dan enam rekod jenayah termasuk cubaan membunuh.