Majlis Daerah Baling, Kedah dikenal pasti sebagai kawasan yang mencatat kadar kebahagiaan tertinggi di Malaysia, iaitu sebanyak 84.62 peratus, berdasarkan Kajian Indeks Kebahagiaan Negara 2013.

Ia diikuti Majlis Perbandaran Alor Gajah, Melaka dengan 81.54 peratus dan Majlis Daerah Pekan serta Majlis Daerah Raub, Pahang masing-masing mencatat 80 peratus.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata indeks ini dapat mengenal pasti hasrat dan aspirasi rakyat secara langsung terhadap pembangunan.

"Soal kebahagiaan tidak lagi terhad kepada menerima manfaat pembangunan sahaja, tetapi penglibatan setiap rakyat dalam proses pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi melalui konsep pemerkasaan, perwakilan dan perundingan bersama penduduk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan sebab Baling mencatat indeks kebahagiaan tertinggi.

Abdul Rahman berkata kajian indeks terbaru ini menunjukkan 90 pihak berkuasa tempatan (PBT) mencatat tahap sederhana untuk kebahagiaan penduduk di kawasan masing-masing, iaitu antara 50 hingga 79 peratus, dan hanya empat PBT melepasi 80 peratus.

"Peningkatan kualiti hidup penduduk ini dapat membendung masalah rasuah, jenayah, juvenil dan masalah sosial lain.

"Indeks ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada piawaian Petunjuk Rangkaian Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia (Murninets) yang merangkumi 151 PBT di Malaysia," katanya.

Indeks Kebahagiaan Negara mula dilaksana pada 2012 dengan 82 PBT, dan pada tahun lepas, ia disertai 94 PBT.