NATIONAL
Daftar pemilih tambahan Mac 2025, semakan dibuka sehingga 23 Mei

Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mac Tahun 2025 boleh dibuat dalam tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 23 Mei depan.
KUALA LUMPUR: Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mac Tahun 2025 (DPT BLN3/2025) boleh dibuat dalam tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 23 Mei depan, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata DPT BLN3/2025 yang diperaku semalam dan diwartakan hari ini mengandungi 39,241 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Mac yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
"Selain itu, ia mengandungi 9,090 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya serta 1,123 pemilih bertukar status atau kategori pengundi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ikmalrudin berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan, iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my, dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my."Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218," katanya.
Ikmalrudin menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Mac 2025 serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya, kategori pengundi atau status supaya menyemak nama mereka dalam DPT BLN3/2025.
"Sekiranya mereka mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN3/2025, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan," katanya.
Ikmalrudin berkata pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang ingin membuat bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian tersebut boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian sama atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri.
"Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat sepanjang tempoh semakan DPT BLN3/2025," katanya.
Sebarang pertanyaan berkaitan semakan DPT BLN3/2025 boleh diajukan kepada SPR melalui portal rasmi atau talian hotline SPR 03-8892 7218.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami