Skip to main content

Malaysia

Daftar pemilih tambahan Mei 2026 dibuka untuk semakan - SPR

41714400820_SPRGeneric.jpg
DPT BLN5/2026 mengandungi 40,139 nama warganegara yang berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Mei 2026 hingga 31 Mei 2026 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Advertisement

PUTRAJAYA: Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mei Tahun 2026 (DPT BLN5/2026) boleh dibuat bagi tempoh 30 hari dari hari ini hingga 29 Julai, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus.

Beliau berkata DPT BLN5/2026 diperaku semalam dan diwartakan hari ini, mengandungi 40,139 nama warganegara yang berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Mei 2026 hingga 31 Mei 2026 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Selain itu, DPT berkenaan mengandungi 23,902 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,400 orang pemilih bertukar kategori pengundi atau status.

“SPR menyeru warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Mei hingga 31 Mei 2026 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN5/2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semakan boleh dibuat melalui portal SPR menerusi pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi pejabat pilihan raya negeri http://ppn.spr.gov.my, aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau talian Semakan Pendaftaran Pemilih 03-8892 7218.

Khairul Shahril berkata sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN5/2026, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian menerusi pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat Pilihan Raya Negeri menerusi http://ppn.spr.gov.my dan dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN5/2026.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement