NATIONAL
Daftar segera tanah wakaf dengan MAIPk, elak risiko dijual - Saarani

Saarani (tengah) menyampaikan set kepada penerima selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kitab Bacaan di Masjid, Surau Diri Jumaat dan Surau Ta’addud Jumaat Negeri Perak di ILKKM Sultan Azlan Shah di Tanjung Rambutan. -Sinar Harian
IPOH: Semua masjid, surau dan sekolah agama rakyat di Perak digesa segera mendaftarkan tanah wakaf masing-masing di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi mengelakkan isu pertikaian hak milik yang boleh mengancam kewujudan institusi ibadah tersebut.
Ringkasan AI
- Semua masjid, surau, dan sekolah agama rakyat di Perak digesa mendaftarkan tanah wakaf di bawah MAIPk untuk mengelakkan isu pertikaian hak milik.
- Saarani Mohamad menyatakan tindakan telah diambil untuk menebus tanah masjid di daerah Kerian yang dijual kepada individu bukan Islam.
- Kerajaan negeri akan meneliti semula insentif kepada johan qari dan qariah serta peserta hafazan yang mewakili Perak ke peringkat antarabangsa.
“Dulu orang tua-tua kita lafaz sahaja wakaf, buat masjid, tetapi tidak daftarkan dengan MAIPk. Bila pewakaf meninggal dunia, tanah itu disenaraikan sebagai harta pusaka dan difaraidkan. Bila sampai kepada waris, ada yang menjual dan pembelinya pula bukan Islam. Ia seperti yang berlaku di sebuah masjid di daerah Kerian.
"Jadi, sebab itu saya nasihatkan semua masjid yang belum lagi diwartakan wakaf di bawah MAIPk supaya segera mendaftar.
"Alhamdulillah, setiap minggu ada Kertas Exco yang kita luluskan atas nama MAIPk. Cuma masih banyak lagi, bukan sahaja masjid dan surau tetapi juga sekolah agama rakyat," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kitab Bacaan di Masjid, Surau Diri Jumaat dan Surau Ta’addud Jumaat Negeri Perak di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah di Tanjung Rambutan, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim; dan Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor.
Sementara itu, dalam ucapannya, Saarani memaklumkan bahawa tindakan telah diambil terhadap isu sebahagian tanah sebuah masjid di daerah Kerian yang telah dijual kepada individu bukan Islam oleh waris pewakaf.
Beliau juga telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan MAIPk supaya mengambil tindakan segera berhubung isu berkenaan, termasuk menebus kembali tanah masjid terbabit yang dikatakan berjumlah RM1.8 juta.
“Saya difahamkan kutipan bagi sumbangan setiap hari Jumaat oleh masjid-masjid di Perak jumlahnya antara RM5 juta hingga RM7 juta sebulan. Maknanya, seminggu sekitar RM1 juta.
“Jadi saya seru supaya tunjukkan solidariti umat Islam Perak. Sebahagian kutipan itu bolehlah digunakan untuk menebus tanah tersebut. Surat pekeliling juga akan dikeluarkan kepada semua pengerusi masjid berkaitan perkara ini,” ujarnya.
Tambah beliau, isu sama turut berlaku melibatkan tanah-tanah wakaf bagi surau dan pembinaan sekolah agama rakyat termasuk Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), yang akhirnya memerlukan kerajaan negeri mencari peruntukan bagi membiayai kos tuntutan atau pemilikan semula.
Dalam perkembangan lain, Saarani berkata kerajaan negeri akan meneliti semula insentif yang pernah diberikan kepada johan qari dan qariah serta peserta hafazan negeri ini yang mewakili Perak ke peringkat antarabangsa sebelum menentukan ganjaran yang sesuai. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami