Kalau cakap tentang negeri Perlis, selalu orang cerita tentang manisnya pelam Harumanis di negeri paling kecil di Malaysia ni.

Ramai juga tidak tahu akan kewujudan sebuah kedai makan dengan keistimewaan hidangan daging bakar dengan nasi dan air kordial.

“Bayar daging saja, air dan nasi percuma! Kalau membazir, kita caj!” kata pemilik kedai yang terletak di jalan menghala Kuala Perlis.

Kalau minta 'daging special’, maka kita akan mendapat limpahan daging 'harimau menangis' membanjiri nasi.

Ada tahap sampai tak larat nak habiskan bila pilih menu ‘daging special’.

Negeri ni ada 3 kawasan Parlimen dan 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Akan tetapi, negeri inilah yang parti-parti politiknya paling lambat melengkapkan senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Paling awal melengkapkan senarai calon ialah Pas, diikuti Pakatan Harapan dan kemudian Barisan Nasional (BN).

Parlimen Arau menjadi perhatian dengan kehadiran ‘king of Perlis’ iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyandang kerusi ini dan bakal dicabar dengan Pengerusi PH Perlis; Datuk Dr Rahman Daud serta Mursyidul Am Pas, Ustaz Hashim Jasin.

Jumlah pemilihnya sekadar 150,221 orang dengan 41 peratus merupakan pengundi di bawah umur 40 tahun.

Negeri ini menjadi kubu kuat BN sejak sekian lama dan biasanya hanya dicabar oleh Pas.

Namun, pertembungan kali ini berbeza kerana Pakatan Harapan cuba merebut lebih kerusi bagi mengurangkan kekuatan BN di Perlis.

Pada PRU13, BN menang di kesemua tiga kerusi Parlimen dan 13 kerusi DUN, manakala satu kerusi dimenangi Pas dan satu oleh PKR.

Isu kos sara hidup dan kepimpinan menjadi perkara yang paling mendapat perhatian di Perlis.

Mungkin banyak jenis bantuan telah diterima menerusi kerajaan yang wujud selama ini, tetapi mampukah anak muda Perlis bawa pulang perubahan?

Atau mungkin ada protes dari kumpulan umur lain yang pernah menyuarakan untuk boikot PRU14?