Polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung laporan yang dibuat Program Koordinator Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang mendakwa badan penguatkuasa itu memusnahkan bukti penting berhubung kematian seorang lelaki di dalam lokap polis Jinjang pada 2017.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim pihaknya menerima laporan daripada Mohammad Alshatri Abdullah pada Rabu lepas mengenai keterangan pegawai penyiasat dalam prosiding inkues melibatkan Benedict Thanilas, 43 tahun.

“Siasatan lanjut akan dibuat oleh pihak polis tanpa menjejaskan prosiding inkues yang sedang berjalan.

“Polis juga meminta kerjasama semua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa sumber yang sahih kerana dikhuatiri mengganggu siasatan pihak polis serta prosiding inkues yang sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Pada Jumaat, dua kumpulan sivil - Suaram dan Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) - mendakwa polis memusnahkan bukti penting seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan rekod penting berhubung inkues berterusan yang menyiasat mengenai kematian Benedict.

Kumpulan sivil itu mendakwa, pegawai penyiasat (IO) Shahruddin Rajab memberi keterangan bahawa rekod perubatan dan pendaftaran masuk lokap untuk 2017 telah dilupuskan.

Menurut mereka, ia adalah penghapusan bukti yang disengajakan dan bertentangan dengan Akta Polis 1967 dan peruntukannya.

Benedict meninggal dunia dalam tahanan polis selepas ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah pada 29 Jun 2017.

Berdasarkan laporan, dia ditahan mengikut Seksyen 3(1) dan Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Semasa penahanannya, dia mempunyai sejarah komplikasi kesihatan, termasuk tekanan darah tinggi dan diabetes.

Dia dikehendaki mengambil lapan jenis ubat setiap hari dan tiga suntikan insulin pada siang hari serta satu suntikan pada waktu malam.

Dia dilaporkan mengalami kesukaran bernafas dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur pada pagi 10 Julai 2017 tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.