PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sedia memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sekiranya dipanggil berhubung dakwaan beliau menyampaikan ceramah berunsur politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor, Ahad lepas (30 Julai).

"Insya-Allah sekiranya dipanggil, saya sedia untuk tampil," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada program Hari Sektor Awam Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial beberapa keping gambar Fahmi dengan dakwaan beliau berucap mengenai isu politik di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang.

Semalam, media melaporkan JAIS telah menerima aduan berhubung perkara tersebut dan memanggil nazir masjid itu bagi mendapatkan keterangan.

Fahmi berkata beliau telah memberi penjelasan di laman sosial Facebook dan Twitter bahawa beliau dijemput oleh ahli jawatankuasa masjid berkenaan untuk menjelaskan mengenai punca pengharaman kumpulan muzik The 1975 dan pembatalan konsert Good Vibes Festival.

"Saya langsung tidak bercakap mengenai apa-apa isu politik mahupun pilihan raya negeri (PRN)," katanya yang kesal dengan tindakan pihak yang cuba mempolitikkan isu tersebut.

Pada 22 Julai lepas, kerajaan telah mengeluarkan arahan pembatalan konsert itu di Litar Antarabangsa Sepang susulan perbuatan jelik dan kurang sopan vokalis The 1975, Matty Healy, ketika melakukan persembahan.

-- BERNAMA