Skip to main content

Malaysia

Dakwaan gangguan seksual penulis wanita, DBP serah kepada pihak berkuasa

71566489874_LogoDBP.jpg
DBP menyeru orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung dakwaan gangguan seksual melibatkan komuniti sastera.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap penulis wanita yang tular di media sosial.

Dalam kenyataan pada Rabu, DBP memaklumkan pihaknya mengambil maklum dakwaan berkenaan serta memandang serius sebarang tuduhan yang boleh menjejaskan kesejahteraan individu dan keharmonian komuniti sastera negara.

"Sebarang tindakan lanjut berhubung dakwaan itu perlu dilakukan mengikut lunas undang-undang oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

"Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai dan keputusan rasmi dikeluarkan," kata DBP.

 

DBP turut menegaskan komitmennya untuk menghormati hak semua pihak serta memastikan setiap dakwaan ditangani secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan proses siasatan.

Sebagai institusi yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa dan sastera negara, DBP berkata pihaknya akan terus berusaha memelihara ekosistem kesusasteraan yang berteraskan nilai integriti, profesionalisme, saling menghormati dan rasa tanggungjawab.

Kenyataan DBP itu hadir selepas tular dakwaan di media sosial membabitkan gangguan seksual terhadap beberapa penulis wanita yang didakwa dilakukan oleh seorang individu dalam komuniti sastera. 

Dakwaan berkenaan mencetuskan perbincangan meluas dalam kalangan penggiat sastera dan orang ramai.

Sebelum ini, sidang editorial majalah Dewan Sastera turut mengeluarkan kenyataan mengecam sebarang bentuk gangguan seksual serta menegaskan dunia penulisan perlu menjadi ruang yang selamat kepada semua pengkarya. 

Mereka turut menggesa mangsa tampil membuat laporan dan pelaku dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang.

 

 

Must Watch Video

Advertisement