SHAH ALAM: Jurugambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Sadiq Asyraf membuat permohonan maaf kepada Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz susulan dakwaan menghisap rokok elektronik atau vape di dalam Dewan Rakyat.

Sadiq membuat permohonan maaf itu menerusi satu hantaran di laman sosial, X pada Jumaat.

“Saya memohon maaf kepada saudara YB Datuk Seri (Ikmal Hisham) sekiranya ada salah tanggapan bahawa objek yang dipegang beliau adalah vape.

“Berharap agar segala salah faham kini telah diselesaikan secara harmoni,” tulisnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan foto berkenaan tular di media sosial selepas Sadiq memuat naik imej tersebut di laman sosial, X.

Saya tidak hisap vape, saya tidak merokok. - Ikmal Hisham


Beliau telah memuat naik imej itu dengan keterangan kapsyen berkenaan imej tersebut.

“Betul-betul koyak terus tarik vape sambil keluar dewan,” tulis kapsyen muat naik tersebut.

Susulan daripada itu, Ikmal Hisham mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap jurugambar berkenaan.

“Semua orang tahu saya bukan kaki merokok, duduk sebelah perokok pun saya tak tahan, apatah lagi merokok, hisap vape jauh sekali,” katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian