KUALA LUMPUR: “Ia (cadangan) tidak masuk akal dan melampau."

Itu jawapan tegas bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz apabila dicadangkan bahawa bahawa Jho Low yang didakwa rapat dengan suaminya, Datuk Tawfiq Ayman akan datang ke kediaman  beliau (Zeti) di Bukit Tunku di ibu negara dan memasak pasta untuk keluarga itu.

Peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini mengemukakan beberapa siri kejadian bagi menunjukkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sangat rapat dengan keluarga Zeti.

Saksi pendakwaan ke-46 itu menegaskan dakwaan itu tidak benar.

Muhammad Shafee sebelum itu mencadangkan bahawa Jho Low pada setiap kali mengadakan pertemuan di rumah Najib di Langgak Tunku di ibu negara akan meminta diri untuk ke rumah Zeti di Bukit Tunku yang berdekatan.

Tegas Zeti, beliau dan keluarga tidak mempunyai kaitan langsung dengan Jho Low dan turut menafikan cadangan bahawa beliau pernah memberitahu Najib bahawa Jho Low gemar menghadiahkannya barangan mewah, tetapi dia memulangkan pemberian berkenaan.

Katanya, dakwaan bahawa Jho Low dan suaminya adalah rakan perniagaan adalah tidak benar dan beliau tidak ingat pernah membincangkan perkara mengenai pemberian Jho Low dengan Najib yang ketika itu perdana menteri.

Zeti turut berkata, beliau ambil maklum mengenai dakwaan Jho Low yang mengaku berkongsi alumni dengan suaminya di Wharton Business School dengan tujuan untuk rapat dengannya (Zeti).

Sementara itu, Zeti menafikan dakwaan bekas Pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara, Tim Leissner dalam perbicaraan terhadap bekas pegawai bank terbabit Roger Ng yang mendakwa suami Zeti menerima rasuah supaya dana AS$1 bilion bagi projek usaha sama 1MDB-Petrosaudi dapt dipindahkan ke luar negara tanpa kelulusan BNM.

Menurut transkrip perbicaraan di Mahkamah Tinggi Brooklyn itu yang dirujuk Muhammad Shafee, Leissner memberi keterangan bahawa  BNM terpaksa meluluskan pengiriman wang terbabit kerana pada 2009 Malaysia masih mempunyai undang-undang kawalan modal.

Peguam itu yang membacakan transkrip yang menyatakan AS$1 bilion disalurkan keluar dari Malaysia semalaman dan ia dilakukan kerana suami Zeti menerima rasuah.

Menjawab persoalan berkenaan, Zeti berkata suaminya tidak pernah menerima sebarang rasuah sepanjang hidupnya dan tidak pernah bertemu Ng dan Leissner.

Disoal sama ada BNM membuat sebarang kenyataan untuk menyangkal dakwaan itu, Zeti berkata bank pusat tidak berbuat demikian kerana diberitahu ia akan menjejaskan kes terbabit.

Bagaimanapun, Zeti berkata suaminya membuat kenyataan media berhubung perkara berkenaan kerana ia bersifat peribadi kepadanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang.