KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mahu memberi penjelasan mengenai salah tanggapan mengenai dakwaan yang berulang di media bahawa kilang sebagai sumber utama jangkitan COVID-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata memetik data daripada Kementerian Kesihatan (KKM), sebahagian besar kes terutama pada tahun 2021 adalah sporadik dan bukan berpunca daripada kluster tempat kerja.

Ia terbukti daripada data yang dikeluarkan oleh KKM pada 21 Jun bahawa 69 peratus (398,846 daripada 578,105) kes COVID-19 yang direkodkan tahun ini hingga 19 Jun adalah kes sporadik.

"Walaupun diakui bahawa risiko jangkitan di kilang tidak dapat dihapuskan sepenuhnya sekarang dengan peratusan kes sporadik yang tinggi dan dengan virus berada dalam komuniti, ini sudah pasti tidak boleh disamakan dengan kurangnya kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh kilang, ia adalah dakwaan yang tidak adil.

"Dengan peningkatan kes sporadik, menguruskan kerja-kerja pencegahan jangkitan di dalam kilang atau asrama telah menjadi semakin mencabar bagi industri walaupun dengan pematuhan SOP dan langkah pencegahan lain termasuk ujian saringan COVID-19 kerana virus itu mungkin boleh merebak di kilang terutama menerusi kes melibatkan pesakit tidak bergejala (asymptomatic).

Soh berkata sumber jangkitan itu pada kebiasaannya tidak dikesan dalam kalangan komuniti yang mungkin menjadi punca jangkitan.

"Di kilang apabila seorang pekerja dijangkiti, ia menyebabkan lebih ramai pekerja perlu menjalani ujian saringan berikutan mengesan kontak rapat.

"Ini akan dilaporkan sebagai kluster tempat kerja oleh pihak berkuasa, seterusnya menimbulkan salah tanggapan bahawa tempat kerja terutama kilang menjadi sumber utama jangkitan.

"Sehubungan itu, ia adalah penting supaya kerajaan membuat keputusan mengenai sekatan pergerakan penuh berdasarkan sains dan data bukannya menurut salah tanggapan.

Beliau berkata kerajaan harus menutup operasi syarikat tertentu yang kesnya dikesan tetapi tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh kawasan/daerah atau negeri serta mengenakan syarat operasi ketat terhadap semua perniagaan kerana tidak adil kepada syarikat yang tidak terjejas terutama syarikat yang mempunyai rekod bersih dan telah mengamalkan langkah-langkah pencegahan SOP yang ketat.

Selain itu, pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di Selangor dan Kuala Lumpur bukan disebabkan peningkatan kluster tempat kerja seperti yang dilaporkan media baru-baru ini, perhatian harus diberi terhadap usaha menangani kes sporadik yang melonjak dengan pantas di Lembah Kelang, katanya.

"Sekiranya semua kilang terpaksa ditutup, ia akan memberi kesan teruk terhadap ekonomi kerana sektor pembuatan telah menjadi tonggak kepada pertumbuhan ekonomi, berikutan pertumbuhan positif dicatatkan pada suku keempat tahun 2020 dan prestasi ekonomi suku pertama 2021.

"Sebagai pemangkin pertumbuhan yang menyumbang sekitar 23 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) termasuk 86 peratus daripada jumlah eksport serta sumber utama permintaan untuk output daripada sektor ekonomi lain, ia sangat jelas bahawa sektor pembuatan mesti dibenarkan beroperasi dalam persekitaran pandemik COVID-19," kata Soh.

Beliau berkata perniagaan tidak dapat dikekalkan sekiranya operasi kilang dihentikan atau dikurangkan daripada segi kapasiti dan ia akan membawa kepada kesan buruk kepada ekonomi dengan jumlah kehilangan pekerjaan yang tinggi kerana rantaian bekalan dan rangkaian yang terlibat dalam pembuatan.

"Sekiranya industri ditutup bagi tempoh yang terlalu lama, ia boleh menyebabkan aktiviti ekonomi terhenti dan memberi kesan teruk terhadap ekonomi termasuk pelabur asing mungkin akan keluar dari Malaysia dan pelaburan domestik berkurangan," katanya.

-- BERNAMA