Skip to main content

Malaysia

Dakwaan MB N. Sembilan dipaksa tandatangan proklamasi, PDRM buka kertas siasatan - Saifuddin

AWAN/Waffy Noor Azmi
Saifuddin bercakap kepada pemberita selepas menghadiri himpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Putrajaya hari ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dipaksa menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kertas siasatan berhubung perkara itu masih dalam proses.

“Tadi kami dah bagi… kita dah buat kertas siasatan. Kertas siasatan ada dibuka dan masih lagi dalam proses.

“Kalau ada perkembangan seperti biasa kita akan kongsi dengan rakan media,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri himpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Pada 9 September lalu, Ismail mendakwa beliau dipaksa menandatangani surat cara proklamasi berkenaan tanpa kerelaannya dan dalam keadaan paksaan (duress).

Beliau turut membuat laporan polis berhubung perkara itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.

Ismail berkata, kerajaan negeri berpendirian bahawa surat cara tersebut adalah tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Sehubungan itu, beliau menegaskan dokumen berkenaan adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.
 

Must Watch Video

Advertisement