Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan agar Exco Kerajaan Negeri, Paul Yong Choo Kiong bercuti daripada tugas rasmi termasuk tidak mengambil bahagian dalam apa juga mesyuarat yang melibatkan proses membuat keputusan sehingga proses perbicaraan selesai.

Keputusan itu dibuat susulan dia yang disiasat merogol pembantu rumah warga Indonesia Julai lalu akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok (Jumaat)

Menurut sumber, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari parti DAP itu akan dituduh di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Kerajaan Negeri menghormati proses ini memandangkan keluhuran undang-undang adalah prinsip asas dalam masyarakat negara ini.

"Pada masa yang sama, kita juga menghormati prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

"Secara peribadi saya amat terkejut atas apa yang berlaku dan berharap keluarga Paul Yong khususnya isteri dan anak-anak beliau akan bersabar dalam melalui proses perundangan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata setakat ini tiada keperluan untuk melakukan sebarang rombakan drastik.

Katanya lagi, semua barisan EXCO kerajaan negeri sedia ada mampu memikul tanggungjawab untuk menjalankan urusan pentadbiran secara bersama.

"Kerajaan Negeri Perak mengambil maklum keputusan Peguam Negara untuk mendakwa YB Paul Yong Choo Kiong mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Saya menyeru orang ramai turut menghormati proses perundangan dengan tidak membuat sebarang spekulasi dengan cuba mendahului tugas pihak polis, pendakwa dan hakim dengan menjatuhkan hukuman di media sosial.

"Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sewajarnya kita menaruh sepenuh keyakinan kepada institusi kehakiman negara dalam menegakkan keadilan dan kebenaran," ujarnya.

Tambahnya, prestasi Paul Yong sebagai ADUN Tronoh dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak adalah memuaskan dan memberi kerjasama yang baik kepada semua pihak dalam melaksanakan tanggungjawab.

"Saya menyeru kepada semua penyokong Paul Yong supaya bertenang dan menghormati proses undang-undang dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh merumitkan lagi keadaan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal memberi jaminan proses perundangan ke atas Paul Yong tidak akan menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri Perak.