Skip to main content

Malaysia

Dakwaan syarikat Malaysia terbabit dalam kebakaran hutan di Indonesia masih belum disahkan - PM

A drone view shows smoke rising from wildfire burning in Pulang Pisau, Central Kalimantan province, Indonesia, August 12, 2026. REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana
Perdana Menteri Anwar tegaskan, pihak berkuasa Indonesia perlu ambil tindakan sekiranya ada syarikat Malaysia yang terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia. - Gambar hiasan/ Reuters
Advertisement

PUTRAJAYA: Dakwaan bahawa terdapat syarikat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti pembakaran terbuka di Indonesia sehingga mencetuskan fenomena jerebu rentas sempadan masih belum dapat disahkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini perkara itu hanya merupakan dakwaan dan tuduhan yang masih memerlukan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan.

Menurut beliau, maklumat yang diterima kerajaan ketika ini menunjukkan kebanyakan kebakaran yang dikesan berlaku di kawasan hutan.

“Itu setakat ini hanyalah dakwaan dan tuduhan. Kebakaran yang kami dapat kesan adalah daripada hutan.

“Walau bagaimanapun, kalau ada syarikat Malaysia terkesan, kita beri ruang untuk Indonesia ambil tindakan dan pihak Malaysia tidak akan mempertahankan jika ada kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Perhimpunan bulanan dan sesi pertemuan bersama Persatuan Pekebun kecil di Dewan Serbaguna, Kementerian Perladangan & Komoditi, di sini, pada Selasa.

Anwar menegaskan, Malaysia tidak akan melindungi mana-mana syarikat yang didapati melanggar undang-undang atau terbukti menyumbang kepada kejadian jerebu rentas sempadan.

Mengulas sama ada mekanisme ASEAN dalam menangani jerebu rentas sempadan masih relevan dan berkesan, beliau berpandangan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

Menurut Perdana Menteri, isu jerebu yang berlaku ketika ini memberi kesan langsung kepada kehidupan harian serta kesihatan awam, khususnya penduduk di kawasan yang terjejas teruk.

“Saya rasa ada ruang untuk penambahbaikan. Menteri-menteri ASEAN perlu betul-betul teliti semula, sebab jerebu sememangnya sedang memberi kesan kepada kehidupan dan kesihatan awam, lebih-lebih lagi mereka di kawasan Serian, Sarawak,” katanya.

Keadaan jerebu ketika ini telah menyebabkan beberapa kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat, selain mendorong pelaksanaan pelbagai langkah mitigasi termasuk penutupan sekolah dan pengisytiharan darurat di Serian.

Must Watch Video

Advertisement