KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa tiada wakil pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan (KKM) hadir pada upacara pengebumian mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Ismuni Bohari.
Beliau berkata dakwaan itu perlu diperbetulkan kerana beliau sendiri berada di lapangan bagi menyantuni keluarga mangsa di Miri dan Kuching, selain memberikan penghormatan terakhir kepada anggota pasukan FDS yang terkorban.
"Saya sendiri berada di lapangan, menyantuni keluarga mangsa di Miri dan Kuching mewakili Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan pengurusan tertinggi KKM serta memberi penghormatan terakhir kepada rakan-rakan pasukan FDS yang amat saya kasihi.
"Dr Dzulkefly, Ketua Setiausaha Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (ke Kota Bharu) dan Timbalan Ketua Setiausaha ke Senawang dan saya sendiri ke Miri dan Kuching. Itulah aturan yang telah ditetapkan oleh pengurusan tertinggi KKM," katanya menerusi hantaran di laman X.
Dr Ismuni berkata kehadiran beliau bukan sahaja atas kapasiti rasmi, tetapi juga atas dasar kemanusiaan dan keakraban dengan pasukan FDS yang pernah disertainya, selain sebagai anak jati Sarawak dan Ketua Program Kesihatan Awam Kebangsaan.
"Semoga kita terus menghormati mereka yang telah pergi dan bersama-sama memberikan sokongan serta kekuatan kepada keluarga yang ditinggalkan," katanya.
(2/3) YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah diberi penghormatan oleh keluarga untuk mengimamkan solat jenazah Allahyarhamah YBrs. Dr. Ainul Baraah binti Kamarudin di Masjid Al-Karomah, Kampung Baung, Pengkalan Chepa. pic.twitter.com/MSVSoP6NAb
— KKMalaysia🇲🇾🩺❤️ (@KKMPutrajaya) September 13, 2026
YBrs. Dr. Ismuni Bohari, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), KKM telah mengadakan kunjungan takziah ke kediaman keluarga mendiang Penolong Pegawai Perubatan Alexon Adit di Senadin, Miri, yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang baru-baru ini.
Dalam… pic.twitter.com/hPcuezglUx— KKMalaysia🇲🇾🩺❤️ (@KKMPutrajaya) September 14, 2026
Pada Selasa, sebuah portal berita mendakwa Menteri Kesihatan seharusnya memberi penghormatan terakhir kepada keluarga mangsa FDS di Sarawak dan bukannya menghadiri persidangan di ibu negara semasa urusan pengebumian mangsa dilakukan.
Dr Ismuni berkata portal berita berkenaan sepatutnya membuat semakan dan memperbetulkan fakta dalam penulisan mereka, sebelum tindakan undang-undang diambil.
-- BERNAMA