Ringkasan AI
- UMNO menegaskan komitmen mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong serta Institusi Raja-Raja Melayu susulan keputusan pengampunan bersyarat Najib Razak.
- Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan keputusan pengampunan bersyarat adalah hak Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong dan mesti dihormati semua pihak.
- Najib Razak memulakan hukuman tahanan rumah selepas Mahkamah Tinggi memuktamadkan pelaksanaan, susulan pembayaran denda RM50 juta melalui Tabung Solidariti Najib Razak.
KUALA LUMPUR: UMNO akan terus mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong serta Institusi Raja-Raja Melayu susulan keputusan pengampunan bersyarat yang diperkenankan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu berpendirian setiap keputusan yang dibuat di bawah kuasa Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati oleh semua pihak.
Menurut beliau, keputusan pengampunan bersyarat yang diberikan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan merupakan cerminan kuasa dan hak Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong.
"UMNO merafak sembah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas ketegasan titah berhubung pengampunan bersyarat yang membawa kepada pelaksanaan tahanan rumah buat Datuk Seri Najib Razak.
"UMNO berpendirian sebarang perbuatan yang memperlihatkan unsur-unsur protes termasuk menjadikan keputusan pengampunan bersyarat yang dititahkan sebagai alasan sesuatu tindakan diambil, ia boleh membawa maksud kepada mencabar dan menderhaka terhadap kuasa Perlembagaan Tuanku.
“UMNO akan tetap teguh mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan Tuanku serta Institusi Raja-Raja Melayu,” tegas Zahid menerusi satu kenyataan media pada Rabu.
Tambah Zahid, Malaysia merupakan sebuah negara hukum, selagi mana proses yang melibatkan soal perundangan tertakluk dalam kerangka Perlembagaan, adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk mempertahankannya.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan semakan bagi memperincikan teks perintah pelepasan Najib untuk mengelakkan sebarang kekeliruan teknikal undang-undang tanpa menjejaskan titah pengampunan bersyarat Yang di-Pertuan Agong.
Perkara itu menyebabkan tahanan rumah Najib ditangguhkan selama empat hari selepas denda RM50 juta bagi kes penyelewengan dana SRC International dilunaskan pada 6 November lalu menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan oleh UMNO.
Pada Selasa, Najib tiba di kediaman peribadi di Jalan Langgak Duta, di sini, tepat jam 9.30 malam bagi memulakan pelaksanaan hukuman tahanan di rumah selepas ketetapan itu dimuktamadkan Mahkamah Tinggi menerusi Hakim Datuk Aslam Zainuddin.