KUALA LUMPUR: Bantuan dana kemanusiaan Malaysia bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria kini berjumlah RM20 juta, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sumbangan itu adalah daripada beberapa syarikat tempatan dan pelbagai pihak termasuk sebanyak AS$1 juta daripada kerajaan Malaysia, manakala AS$1 juta lagi adalah sumbangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Bagi bantuan menyelamat kita telah hantar dua pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), dan satu lagi kumpulan akan berlepas ke sana malam ini termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," kata beliau pada Waktu Pertanyaan Menteri semasa persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Anwar menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan bentuk bantuan yang telah diberikan kerajaan kepada Turkiye dan barat laut Syria susulan bencana gempa bumi yang melanda yang telah mengorbankan begitu banyak nyawa dan mencederakan ribuan rakyat kedua-dua negara berkenaan.

Anwar berkata, kos penghantaran SMART banyak dikurangkan kerana kos penerbangan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat penerbangan Turkiye menjadikan hanya sekitar RM4 juta dibelanjakan untuk tujuan berkenaan.