KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melaksanakan kajian impak secara menyeluruh sebelum membuat keputusan berhubung penganjuran Sukan SEA 2027.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata mesyuarat mengenai perkara itu masih berjalan dengan penglibatan pelbagai pihak bagi mengenal pasti kelebihan dan kekurangan bagi menganjurkan temasya dwitahunan tersebut.

"Kabinet minta KBS mendapatkan lebih banyak maklumat penganjuran Sukan SEA 2027. Mesyuarat awal telah diadakan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan esok kita akan berjumpa dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mulakan perbincangan lihat apa kos yang akan kita hadapi jika anjurkan atau sebaliknya.

"Kementerian Kewangan minta untuk kaji betul-betul sebab tak nak bila kata nak anjur dua tiga tahun selepas itu duit tidak mencukupi dan perlu ditambah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis 'Play True Day' antara KBS dan pemegang taruh utama di Axiata Arena Bukit Jalil di sini hari ini.

Hannah berkata pihaknya akan memaklumkan perkembangan terbaru berhubung penganjuran temasya tersebut selepas mengadakan perjumpaan dengan pemegang taruh terlibat.

Terdahulu dalam perkembangan sama, semua ahli gabungan MOM bersetuju menghantar satu resolusi kepada KBS untuk merayu kerajaan meneruskan penganjuran Sukan SEA 2027.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata ia berikutan wujudnya kebimbangan terhadap nasib temasya itu selepas kerajaan menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 menggantikan penganjur asal, Victoria, Australia, bulan lepas.

Sebelum ini, Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) mahu supaya hak penganjuran itu diberikan kepada negara pernah dan mampu menjayakannya sebelum ini dengan Malaysia menyatakan minat berikutan pengunduran Brunei yang sepatutnya menganjurkan temasya sukan dwitahunan itu.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan itu adalah pada 2017.

Sukan SEA 2027 bakal menjadi kali ketujuh buat Malaysia sebagai tuan rumah selepas edisi 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.

-- BERNAMA