KUALA LUMPUR: Rangkaian pelaburan sosial terbesar Asia, Asian Venture Philanthropy Network (AVPN) hari ini melancarkan Dana Kesejahteraan Mental Belia Asia bernilai AS$3 juta (RM13.95 juta) yang memberi fokus kepada kesihatan mental belia di rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Selaras inisiatif tersebut, Yayasan Hasanah, yayasan berasaskan impak di bawah Khazanah Nasional Bhd, akan menyokong dalam memacu sektor swasta terhadap kepentingan kesannya di Malaysia.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata, kerjasama dana bagi tempoh tiga tahun itu dijangka mampu meningkatkan serta mencapai keberkesanannya dalam menangani isu kesihatan mental golongan belia di rantau ini.

“Daripada jumlah berkenaan, AS$1 juta (RM4.65 juta) diperuntukkan kepada belia di Malaysia. Kami berharap pelaksanaan ini membolehkan para belia menyedari potensi besar mereka dalam mendepani pelbagai isu-isu penting termasuk kesihatan mental.

“Selaku Convenor (Penghubung), Collaborator (Rakan Kerjasama) dan Catalyst for Change (Pemangkin Perubahan) terhadap sektor impak sosial negara, kami berusaha melakukan perubahan kepada golongan belia menerusi kerjasama dengan pelabur sosial seperti AVPN yang mencapai rangkaian global dan fokus bagi kesan di Asian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui pada acara The Hasanah Forum (THF) 2023 yang berlangsung sama AVPN Global Conference 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.

Dana tersebut berobjektif untuk menyokong dan meningkatkan skala keberkesanan penyelesaian formula oleh organisasi tanpa berasaskan keuntungan yang boleh dipercayai.

Malah, ia turut bertindak mengumpul pembiaya dana yang membawa pertumbuhan dan kelestarian terhadap portfolio lazim selain mengurangkan halangan dihadapi para belia dalam mencapai kesejahteraan mental.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif AVPN, Naina Subberwal Batra, dana berkenaan tidak hanya menyatukan komuniti pembiaya kepada satu tujuan yang sama, sebaliknya mengumpulkan pelbagai kepakaran yang boleh berkongsi berkaitan amalan terbaik.

“Ia selain itu turut memastikan sumber yang kita ada ini dapat disalurkan secara berkesan kepada organisasi tidak berasaskan keuntungan yang terpilih. Ianya sangat penting kerana kerjasama ini dilihat sebagai pendekatan terbaik dalam menangani isu belia.

“Kesejahteraan mental belia adalah sangat kompleks dan ia merupakan cabaran multi generasi serta memberi tekanan kepada keperluan di rantau ini. Kita akan memberi dana kepada organisasi yang memberi impak inovatif dalam menyelesaikan kesejahteraan mental belia,” jelasnya.

Permohonan bagi Dana Kesejahteraan Mental Belia Asia akan dibuka pada September ini. AVPN menyarankan agar organisasi inovatif tidak berasaskan keuntungan dan perusahaan sosial untuk memohon dana berkenaan bagi membantu membuat perubahan dalam kesejahteraan mental belia di rantau ini.

Untuk maklumat lanjut berkaitan dana itu, sila layari avpn.asia atau hubungi AVPN di [email protected].