Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata satu dana khas akan diwujudkan bagi melaksanakan program Usahawan 1Malaysia (1MET).

Bagaimanapun, katanya perkara itu hanya akan diberitahu pada pengumuman Bajet 2014 yang akan dibentang pada 25 Oktober nanti.

“Ya, akan ada dana untuk 1MET dan ia akan diumumkan pada Bajet akan datang,” katanya pada satu sesi soal jawab selepas majlis pelancaran 1MET.

Seramai kira-kira 4,000 usahawan serta pemimpin perniagaan dari lebih 100 negara hadir ke Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) 2013 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur selama dua hari.

Sebelum itu, Najib turut mengumumkan penubuhan Inovasi Global Malaysia Dan Pusat Kreatif (MAGIC).

Katanya ia bagi menyokong syarikat yang terlibat dalam multimedia kreatif, penyelidikan dan pembangunan serta pengurusan data.

ges2013

Menurut Perdana Menteri, ia akan menjadi pusat sehenti dan membantu usahawan membangunkan perniagaan pada peringkat awal untuk mendapatkan pembiayaan daripada bank-bank.

Ia juga memudahkan usahawan untuk mendaftarkan harta intelek, serta mendapat kemudahan akses untuk latihan dan bimbingan.

Najib turut berkata idea dan peluang perlu diperkembang dan dizahirkan dalam persekitaran terbuka.

Persekitaran yang sesuai katanyanya amat penting untuk usahawan menukarkan sesuatu peluang menjadi satu perusahaan yang berjaya dan menguntungkan.