KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa sebuah syarikat yang dipercayai ada kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low menerima wang daripada SRC BVI berjumlah AS$15 juta dan memindahkannya kepada beberapa individu terkemuka.

Pengarah Urusan Quantuma International, Angela Barkhouse melalui pernyataan saksinya berkata syarikat Muraset Limited menerima dana tersebut pada 27 Dis 2011 dan AS$40,000 dipindahkan kepada Battushig Batbold iaitu anak lelaki bekas perdana menteri Mongolia, Sukhbaataryn Batbold.

Menurut pakar penyiasatan kewangan itu penyelidikannya mendedahkan selain Battushig, Dash Uranbileg iaitu tokoh politik di Mongolia menerima AS$2 juta daripada Muraset.

"AS$4.5 juta dipindahkan kepada pengarah Muraset, Cheong Choo Young iaitu proksi Batbold (Battushig) manakala isterinya Kim Hak Seon menerima AS$1.4 juta. Namun perniagaan Muraset bagaimanapun tidak diketahui,"katanya.

Wanita itu berkata demikian semasa memberi keterangan secara dalam talian dari British Virgin Islands dalam kes saman AS$1.18 bilion SRC International Sdn Bhd terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Barkhouse, saksi kedua SRC itu berkata pada mulanya Muraset menerima dana daripada SRC BVI sebagai bayaran untuk tiga juta saham dalam Gobi Coal Energy Limited di Mongolia di mana Gobi Coal memegang hak ke atas dua lombong di Mongolia.

"Walaupun ini kelihatan sebagai transaksi yang dilakukan mengikut pelaburan dalam sektor tenaga dan sumber, pemerolehan saham ini dijalankan tidak mengikut aturan yang wajar.

"Nampaknya pemindahan ke Muraset atau Gobi Coal itu kekurangan nilai komersial. Tiada asas bagi pembayaran ini dikenal pasti dan menunjukkan bahawa ini adalah mekanisme untuk mengalihkan dana kepunyaan SRC International," kata Barkhouse.

Pada 7 Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman sivil dengan mendakwa Najib (defendan pertama) menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana tersebut.

Selain Najib, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil dinamakan sebagai defendan kedua.

SRC, yang juga anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah.

Syarikat itu memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

SRC juga menuntut deklarasi bahaw Najib bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami sebanyak RM42 juta.

Najib, 70, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International. Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA