DAP bersedia menerima prinsip satu lawan satu berdepan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata prinsip itu terbukti berkesan menerusi keputusan PRU pada 2008 dan 2013.

Namun, beliau optimis dengan seteru tradisi PAS yang disifatkan beliau enggan menerima prinsip kesepakatan pembangkang selama ini.

"Kami (di DAP) menyokong penuh rancangan satu lawan satu. Kita lihat strategi tersebut begitu efektif sewaktu PRU12 dan PRU13.

"Tapi sokongan kita bukan sokongan buta. Strategi satu lawan satu mesti berdasarkan prinsip dan persetujuan dasar bersama.

"Apa guna kami bersepakat dengan sebuah parti yang berasaskan prinsip agama, tapi enggan menentang Bajet (2017) yang dibentangkan oleh seorang Perdana Menteri yang terbukti menyeleweng berbilion dolar wang rakyat ke akaun peribadi beliau," katanya semasa ucapan pembukaan Konvensyen DAP Selangor, di sini hari ini.

Beliau yang tidak menyebut langsung parti PAS sebaliknya hanya memberi indikasi berkait parti Islam itu.