Skip to main content

Malaysia

DAP setuju sekatan Waze demi keselamatan negara - PM Anwar

Anwar berkata pendirian itu dibuat selepas penjelasan diberikan mengenai risiko keselamatan maklumat susulan kebimbangan terhadap pemakaian undang-undang Israel dalam perjanjian penggunaan aplikasi berkenaan. -Foto Astro AWANI
Anwar berkata pendirian itu dibuat selepas penjelasan diberikan mengenai risiko keselamatan maklumat susulan kebimbangan terhadap pemakaian undang-undang Israel dalam perjanjian penggunaan aplikasi berkenaan. -Foto Astro AWANI

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pendirian kerajaan untuk mengehadkan penggunaan aplikasi Waze atas faktor keselamatan negara mendapat persetujuan pimpinan DAP, termasuk Gobind Singh Deo dan Anthony Loke.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian itu dibuat selepas penjelasan diberikan mengenai risiko keselamatan maklumat susulan kebimbangan terhadap pemakaian undang-undang Israel dalam perjanjian penggunaan aplikasi berkenaan.

“Kerajaan tidak boleh mengutamakan kemudahan penggunaan aplikasi sehingga sanggup mendedahkan maklumat negara kepada risiko berkenaan.

“Apakah sanggup kita serah maklumat kita kepada undang-undang Israel? Itu soalnya,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Al Mustaqim, hari ini.

Anwar berkata meskipun penggunaan alternatif tempatan mungkin menimbulkan kesulitan kepada pengguna, perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berkompromi dalam aspek keselamatan negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa isu berkenaan telah dihuraikan dalam jawapan menteri di Parlimen, termasuk pendirian kerajaan terhadap penggunaan aplikasi tersebut.

Must Watch Video

Advertisement