Skip to main content

Malaysia

Indonesia belum sahkan bentuk bantuan Malaysia bagi tangani kebakaran hutan - Fahmi

Fahmi (foto) berkata tawaran bantuan Malaysia itu masih terbuka, selaras dengan kesediaan negara untuk bekerjasama dalam usaha menangani kebakaran hutan dan tanah di Indonesia. -Foto fail/BERNAMA
Fahmi (foto) berkata tawaran bantuan Malaysia itu masih terbuka, selaras dengan kesediaan negara untuk bekerjasama dalam usaha menangani kebakaran hutan dan tanah di Indonesia. -Foto fail/BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Indonesia masih belum mengesahkan bentuk bantuan yang diperlukan daripada Malaysia bagi membantu usaha memadam kebakaran hutan dan tanah di republik itu.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata Malaysia kekal bersedia memberikan bantuan termasuk menyediakan aset bagi menyokong operasi pemadaman kebakaran sekiranya diperlukan.

“Malaysia kekal bersedia untuk memberikan bantuan aset sekiranya diperlukan.

“Setakat hari ini, pihak Kementerian Luar dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) masih belum menerima maklum balas penuh daripada pihak Indonesia mengenai bentuk bantuan yang ingin diterima,” katanya dalam Sidang Media Mingguan, di sini, pada Jumaat.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata tawaran bantuan Malaysia itu masih terbuka, selaras dengan kesediaan negara untuk bekerjasama dalam usaha menangani kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.

Pada 18 Oktober lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia meneliti bentuk bantuan tambahan yang boleh disalur kepada Indonesia bagi memadam kebakaran hutan yang semakin tidak terkawal, termasuk kemungkinan menggerakkan aset udara.

Katanya, cadangan bantuan itu sedang dibincangkan oleh pegawai kanan kedua-dua negara sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan.

Antara bantuan yang sedang dipertimbangkan ialah penggunaan helikopter dan pesawat pengebom air bagi membantu operasi pemadaman di kawasan terjejas.

Must Watch Video

Advertisement