MELAKA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan melaksanakan beberapa langkah mitigasi bagi memastikan kawasan jelapang tidak terjejas ekoran jangkaan Super El Nino bermula bulan depan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata antara langkah mitigasi itu ialah memastikan pengurusan pelepasan air di tiga empangan MADA dilakukan secara berhemat mengikut keperluan keadaan sawah terlibat agar tidak terjejas.
Beliau berkata selain itu, pelan berkenaan turut menggariskan langkah untuk mengoptimumkan sumber air dalam sistem melibatkan pengoperasian sebanyak 117 pam guna semula serta struktur kawalan air.
“Langkah lain yang akan diberi perhatian ialah pemantauan sumber air secara berterusan, taburan hujan dan perubahan sumber air melalui Sistem Telemetri MADA.
“Kesiapsiagaan MADA turut melibatkan penyesuaian amalan pertanian, antaranya penyelarasan jadual penanaman mengikut ketersediaan air, penggunaan varieti tahan kemarau, amalan pengurusan tanah dan air yang cekap serta pengurusan rumpai, perosak dan penyakit secara bersepadu,” katanya di sini hari ini.
Chan berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan dan Jasamu Dikenang Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) 2026 yang turut dihadiri Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil.
Beliau berkata permohonan pelaksanaan operasi pembenihan awan di kawasan tanaman padi juga akan dipertimbangkan sekiranya cuaca panas dan kering berterusan lebih daripada dua bulan.
Menurut Chan, kerjasama berterusan dengan pelbagai agensi, antaranya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) turut dilakukan bagi memantau perkembangan semasa fenomena Super El Nino.
“Kesemua pelan mitigasi ini perlu dilaksanakan secara komprehensif mengikut keadaan semasa fenomena El Nino kerana kesannya nanti ialah pada penurunan hasil tanaman padi untuk tahun hadapan dan isu ini adalah sangat kritikal,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Faiz berkata bekalan sumber ikan dijangka tidak terjejas kerana ketika ini LKIM telah menyediakan hampir 1,600 tan metrik stok penimbal ikan bagi memastikan bekalan makanan itu mencukupi dan tidak terputus sepanjang tempoh fenomena Super El Nino.
Beliau berkata usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama persatuan nelayan kawasan (PNK) dan LKIM di seluruh negara.
Terdahulu, pada majlis itu, sebanyak 382 penerima Anugerah Perkhidmatan LKIM diraikan dan antara anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Perdana (tujuh orang), Anugerah Platinum (lima orang), Anugerah Emas (13 orang), Anugerah Gangsa (258 orang) dan Anugerah Bakti (99 orang).
-- BERNAMA