KUALA LUMPUR: Penyanyi, Afgan mengaku bertemu dengan ahli terapi berhubung kesihatan mental yang dialaminya sejak pandemik COVID-19 melanda dunia dua tahun lalu.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta dan Entah, semasa pandemik berlangsung ia merupakan tahun yang amat sukar buat semua termasuk dirinya sendiri.

Apabila semua terhenti, sudah pasti sebagai penyanyi beliau tidak boleh membuat persembahan, merakam lagu dan berjumpa dengan ramai orang.

Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, 33, berkata, ketika pandemik, dia memerlukan sistem sokongan terutama daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat.

“Ketika pandemik melanda, semuanya terhenti. Saya tak boleh buat persembahan, rakam lagu dan waktu itu juga saya banyak bersendirian.

“Saya alami 'mental block'. Ia adalah tahun yang sangat sukar bagi saya. Justeru, disebabkan itu saya memerlukan sistem sokongan seperti kawan rapat.

“Jika sebelum ini saya bekerja keras selama 13 tahun, namun apabila pademik melanda, saya tidak boleh melakukan banyak perkara. Jadi, saya alami ‘burn out’. Selain itu saya juga alami depresi,” katanya kepada Astro AWANI.

Sehubungan dengan itu, Afgan mula menyedari bahawa banyak hal yang perlu diperbaiki. Jadi, penyanyi lagu Terima Kasih Cinta itu memutuskan untuk bertemu dengan ahli psikiatri.

“Saya mula buat terapi dengan ahli psikiatari sejak pandemik dan rutin itu berlanjutan sehingga sekarang, setiap bulan untuk membuatkan saya untuk 'keep moving'.

“Dalam masa sama, saya bersetuju untuk bertemu pakar kerana ramai antara sahabat saya yang turut melalui hal sama. Jadi, mereka mencadangkan saya untuk mendapatkan bantuan yang serupa,

“Sekarang saya lebih content, spiritual dan tenang. Ada hikmah pandemik ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Afgan bakal menjayakan konsert Afgan Evolution Kuala Lumpur di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pukul 8.30 malam ini.

Afgan bakal menyanyikan 24 buah lagu termasuk karya-karya daripada album mini terbaharu, +62 selama dua jam konsert berlangsung.