Skip to main content

Malaysia

Dapatan Merdeka Center: Anwar enggan leka dengan pujian, tekad terus tingkat prestasi

TB_ANWAR IBRAHIM SOLAT JUMAAT_01_AWANI
Anwar (foto) menyambut baik dapatan kajian yang meletakkan beliau sebagai pemimpin politik paling mendapat sokongan rakyat di negara ini. -Foto fail/Bernama
Advertisement

DENGKIL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik dapatan kajian yang meletakkan beliau sebagai pemimpin politik paling mendapat sokongan rakyat di negara ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pengiktirafan sedemikian tidak boleh dijadikan alasan untuk berasa selesa atau leka dengan pencapaian semasa.

Sebaliknya, kata beliau, setiap pujian dan sokongan yang diterima perlu menjadi pendorong untuk terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, prinsip yang dipegangnya adalah untuk sentiasa melakukan penambahbaikan dan berusaha sedaya upaya dalam setiap tanggungjawab yang dipikul.

Menurutnya, seseorang pemimpin perlu terus bekerja keras dan memberikan yang terbaik tanpa terlalu dibuai dengan sanjungan yang diterima.

“Alhamdulillah, saya mendengar perkara itu dan saya bersyukur dengan sokongan yang diberikan.

“Tetapi saya sentiasa berpegang kepada semangat untuk terus melakukan pembaikan dan meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.

“Rumusan daripada hadis juga mengajar kita supaya melaksanakan pekerjaan dengan sebaik-baiknya, bekerja lebih kuat dan tidak hanyut dengan pujian yang diberikan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, di sini, hari ini.

Merdeka Center dalam laporan pada Khamis memberitahu  Anwar muncul sebagai pemimpin politik paling disenangi rakyat apabila memperoleh kadar penilaian positif sebanyak 52 peratus.

Kajian berkenaan dilaksanakan antara 12 Mac hingga 9 April lalu melibatkan responden daripada pelbagai latar belakang di seluruh negara.

Tinjauan itu turut mendapati sebanyak 42 peratus rakyat berpandangan Malaysia berada pada haluan yang betul walaupun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan ekonomi.

Angka tersebut dilaporkan kekal sama seperti yang direkodkan dalam tinjauan terdahulu yang dijalankan pada Disember 2025 dan Februari tahun ini.

Dari segi tahap kepuasan terhadap pentadbiran Kerajaan Persekutuan, separuh daripada responden atau 50 peratus menyatakan mereka berpuas hati dengan prestasi kerajaan.

Sebaliknya, 48 peratus lagi menyatakan rasa kurang puas hati terhadap prestasi pentadbiran semasa.

Berdasarkan pecahan mengikut kaum, kumpulan bumiputera Muslim dan bukan Muslim di Sabah serta Sarawak mencatatkan tahap kepuasan tertinggi iaitu sebanyak 68 peratus, diikuti masyarakat Cina sebanyak 53 peratus.

Sementara itu, responden India dan Melayu masing-masing merekodkan kadar kepuasan terhadap kerajaan sebanyak 46 peratus dan 44 peratus.

 

Must Watch Video

Advertisement