Ringkasan AI
- YTL AI Labs melancarkan Cikgu ILMU, aplikasi AI pendidikan percuma untuk membantu ibu bapa membimbing pembelajaran anak-anak berdasarkan kurikulum kebangsaan Malaysia.
- Aplikasi ini menyokong empat bahasa utama pendidikan negara dan menawarkan fungsi seperti Bantuan Kerja Rumah, Panduan Pembelajaran, Kuiz Pantas dan Kad Imbasan.
- Cikgu ILMU menekankan keselamatan kanak-kanak dengan membolehkan penggunaan tanpa interaksi langsung dengan AI serta menyediakan analisis prestasi pembelajaran.
PUTRAJAYA: YTL AI Labs melancarkan Cikgu ILMU, aplikasi kecerdasan buatan (AI) pendidikan percuma yang dibangunkan bagi membantu ibu bapa membimbing pembelajaran anak-anak, termasuk memahami kerja rumah dan membuat persediaan pembelajaran.
Dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena program Prakarsa AI Pendidikan Negara “AI Temu AI” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, aplikasi itu dikuasakan oleh ILMU, AI Malaysia.
Pengarah Eksekutif YTL AI Labs, Yeoh Pei Lou berkata, Cikgu ILMU dibangunkan khusus untuk membantu ibu bapa yang berdepan kesukaran memahami soalan kerja rumah, subjek atau bahasa yang digunakan dalam pembelajaran anak-anak.
“Sebenarnya ada banyak ibu bapa yang ingin menolong anak dia buat kerja rumah. Tapi adakalanya mereka tidak faham soalan, ataupun subjek, ataupun bahasa yang digunakan.
“Oleh itu, kami membangunkan Cikgu ILMU sebagai satu AI yang boleh membantu dan memudahkan ibu bapa membimbing anak-anak, tidak kisahlah apa jua latar belakang pendidikan anda. Ibu bapa hanya perlu ambil gambar kerja rumah, dan lepas tu AI Cikgu ILMU akan menerangkan konsep pembelajaran langkah demi langkah,” katanya.
Menurut Yeoh, kelebihan utama Cikgu ILMU berbanding platform AI generik lain ialah pembangunannya yang berteraskan kurikulum kebangsaan Malaysia, iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), meliputi Tahun Satu hingga Tingkatan Lima.
“Apa yang membezakan Cikgu ILMU ialah Cikgu ILMU merupakan AI yang telah dibangunkan berasaskan kurikulum sekolah kita, iaitu kurikulum KSSM dan KSSR, sistem pendidikan kita,” katanya.
Beliau berkata, aplikasi itu turut dikuasakan oleh ILMU yang mempunyai pemahaman mendalam terhadap Bahasa Melayu dan konteks tempatan Malaysia.
Cikgu ILMU juga menyokong empat bahasa utama dalam sistem pendidikan negara iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil, selain membolehkan ibu bapa mendapatkan penerangan audio dalam bahasa pilihan masing-masing.
Dalam pada itu, Yeoh berkata aspek keselamatan turut diberi keutamaan apabila kanak-kanak boleh mendapat manfaat AI tanpa perlu berinteraksi secara langsung dengan chatbot.
“Sebenarnya satu kebaikan atau kekuatan Cikgu ILMU ialah ia amat selamat untuk anak-anak menggunakannya. Sebab Cikgu ILMU memberikan benefit atau manfaat kepada anak-anak melalui AI tanpa anak perlu berinteraksi secara langsung dengan AI,” katanya.
“Mula-mulanya ibu bapa akan menjanakan kuiz ataupun aktiviti pembelajaran melalui Cikgu ILMU dan selepas tu, apabila diberi kepada anak, interface yang anak buat kuiz tu tidak ada AI langsung. Dia tidak boleh berbual dengan AI, tanya soalan, tanya apa jawapannya. Dia perlu buat jawapan sendiri saja,” katanya.
Beliau berkata, AI akan menyemak jawapan yang diberikan anak-anak dan menganalisis prestasi mereka sebelum laporan disediakan bagi mengenal pasti kekuatan serta topik yang perlu diperbaiki.
Cikgu ILMU turut menawarkan empat fungsi pembelajaran utama iaitu Bantuan Kerja Rumah (Homework Help), Panduan Pembelajaran (Study Guides), Kuiz Pantas (Quick Quiz) dan Kad Imbasan (Flashcards).
Menerusi fungsi berkenaan, ibu bapa boleh mendapatkan penerangan kerja rumah, menyediakan panduan pembelajaran, menjana kuiz serta menghasilkan kad imbasan interaktif bagi membantu anak-anak mengukuhkan pemahaman.
Aplikasi Cikgu ILMU ditawarkan secara percuma kepada ibu bapa menerusi Apple App Store dan Google Play Store.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman web rasmi cikguilmu.ai.