Skip to main content

Malaysia

Dapatan operasi orang papa, kanak-kanak akan dibentang ke Kabinet - Hannah

Menurut Hannah, Operasi KL Strike Force Bagi Aktiviti Orang Papa dan Kanak-Kanak yang dilaksanakan awal pagi tadi, bertujuan mengenal pasti trend semasa termasuk golongan tegar yang dikesan berulang kali dalam operasi sebelum ini. - Gambar fail/ Facebook Hannah Yeoh
Menurut Hannah, Operasi KL Strike Force Bagi Aktiviti Orang Papa dan Kanak-Kanak yang dilaksanakan awal pagi tadi, bertujuan mengenal pasti trend semasa termasuk golongan tegar yang dikesan berulang kali dalam operasi sebelum ini. - Gambar fail/ Facebook Hannah Yeoh

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dapatan daripada operasi bersepadu bagi menangani isu orang papa dan kanak-kanak di ibu negara akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih menyeluruh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Beliau berkata, Operasi KL Strike Force Bagi Aktiviti Orang Papa dan Kanak-Kanak yang dilaksanakan awal pagi tadi, bertujuan mengenal pasti trend semasa termasuk golongan tegar yang dikesan berulang kali dalam operasi sebelum ini.

“Hasil penemuan ini nanti kita akan bentangkan kepada Jemaah Menteri, Kabinet untuk kita cari penyelesaian. Kita akan ada pasukan untuk kaji data dulu untuk tengok berapa ramai yang telah ditangkap berkali-kali ,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi berkenaan di sekitar ibu negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujub serta Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Operasi bersepadu itu melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Hannah berkata, operasi itu merupakan siri ketiga dilaksanakan di Kuala Lumpur tahun ini, manakala data yang dikumpul akan dibandingkan dengan perangkaan dua tahun lepas bagi merangka pelan tindakan yang lebih efektif.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam kerja lapangan bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan mereka.

Hannah berkata, selepas proses saringan, individu bukan warganegara atau tanpa dokumen akan dikendalikan oleh JIM, kes berkaitan kesihatan mental dirujuk kepada KKM , individu positif dadah diserahkan kepada AADK manakala rakyat Malaysia yang tidak mempunyai tempat tinggal akan dibantu JKM dan DBKL.

Menyentuh mengenai kes kesihatan mental, beliau mengakui ketiadaan fasiliti khusus menyebabkan segelintir individu kembali ke jalanan selepas mendapatkan rawatan, sekali gus mewujudkan kitaran isu yang tidak berkesudahan.

“Kita tidak ada satu fasiliti khas untuk mereka di Kuala Lumpur ini, lepas kita tangkap mereka ambil ubat, kemudian mereka balik. Jadi kita tangkap, mereka balik, dia berulang macam itu,” katanya.

Hannah berkata, operasi berkenaan juga penting bagi menjaga imej negara bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 terutama di kawasan tumpuan pelancong seperti Bukit Bintang.

Selain itu, Hannah berkata, pihaknya menyokong usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam membangunkan akta baharu bagi memperkukuh punca kuasa JKM dalam mengendalikan kes melibatkan pelbagai latar belakang individu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement