KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan peranannya dalam projek kapal tempur pesisir (LCS) adalah sebagai pelanggan dan bukannya kontraktor yang bertanggungjawab membina kapal berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian susulan kelewatan projek itu selepas kontraktor, Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), memaklumkan tidak dapat memenuhi komitmen asal untuk menyerahkan LCS 1 pada Disember 2026.
“Kita harus faham Kementerian Pertahanan adalah pelanggan, bukannya kontraktor. Kita tidak membina kapal itu.
“Perubahan tarikh penyiapan dan kelewatan ini adalah sesuatu yang sememangnya memberi kesan kepada kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga pertahanan negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Khaled, LUNAS kini memberikan tarikh baharu bagi penyerahan LCS 1 pada April 2027, kira-kira empat bulan lewat berbanding jadual sebelumnya.
Beliau berkata, MINDEF, ATM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kecewa dengan kelewatan serta prestasi pembinaan LCS yang dipertanggungjawabkan kepada LUNAS.
“Kalau tarikh baharunya ialah April 2027, kita harap LUNAS tidak ada apa-apa lagi alasan dan kelewatan,” katanya.
Khaled berkata, MINDEF juga sudah mengeluarkan notis ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) kepada LUNAS sebagai menunjukkan kementerian tidak berkompromi terhadap kelewatan projek itu.
Dalam pada itu, beliau mengakui LCS 1 dijangka diterima pada April 2027 tanpa sistem Naval Strike Missile (NSM).
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak bermakna kapal berkenaan langsung tidak mempunyai sistem persenjataan kerana ia tetap dilengkapi beberapa keupayaan lain termasuk peluru berpandu permukaan ke udara, sistem peperangan elektromagnetik serta sistem pengurusan tempur.
“LCS itu akan tetap dilengkapi dengan beberapa jenis sistem persenjataan yang lain,” katanya.
Khaled turut menjelaskan Kementerian Kewangan mempunyai kepentingan dalam memastikan LUNAS memenuhi tarikh penyerahan baharu memandangkan syarikat berkenaan dimiliki kementerian itu.
“Saya percaya dengan kerjasama dan komitmen Kementerian Kewangan, kali ini LUNAS tidak akan ubah lagi tarikh penghantaran dan akhirnya serahan kapal kepada Kementerian Pertahanan tetap akan dibuat dalam bulan April 2027,” katanya lagi.