KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal berpendapat adalah terlalu drastik untuk menghukum golongan anti-vaksin sebagai berdosa jika dilihat dari segi akhlak.

Ia berikutan, beliau lebih cenderung untuk menjaga hubungan silaturrahim daripada menjatuhkan hukuman berkenaan.

"Apa yang saya nampak agak terlalu besar dan drastik untuk kita menghukum mereka berdosa. Memang kalau ikut dari segi melawan pemerintah, dari segi hukum syariat memang ada dosanya, tetapi dari segi akhlaknya, saya cenderung untuk menjaga silaturrahim," katanya semasa program Iftar Mahabbah Ramadan: Dugaan COVID-19 dan vaksinasi menurut Islam yang disiarkan melalui Live Facebook Universiti Kuala Lumpur Royal Collage of Medicine Perak pada Khamis.

Ujarnya, jika melihat dari segi hukum syariat ia dilihat berdosa, namun apabila melihat situasi pada hari ini, golongan seumpama itu boleh ditangani sewajarnya.

"Memang dari segi hukum, lawan pemerintah dan melakukan lawan hukum Islam itu berdosa, tetapi dalam bentuk kita hari ini, kena bawa dalam nada yang baik dan bersahaja dan bukan dalam bentuk untuk kita membuatkan orang apabila mereka berdepan dengan kita, mereka akan jatuh ke kancah dosa," jelasnya.

Katanya lagi, golongan yang menolak vaksin perlu diberikan penerangan dengan pendekatan yang lebih baik dan bukan secara menyerang.

"Apabila soalan adakah jatuh ke tahap berdosa, saya lebih menggunakan pendekatan tidak mahu menggunakan hukum berdosa sebab berdosa ini boleh menjurus seseorang itu masuk neraka. Agak sedih kalau saudara kita masuk neraka.

"Apa yang pasti ialah sejauh mana penerangan kita. Hari ini penerangan-penerangan yang bercanggah antara yang nak vaksin dengan tidak mahu vaksin, yang kata ini sebagai bala dan ujian, ada yang kata ini konspirasi, kebanyakannya lebih kepada sifat menyerang.

"Kalau seseorang itu menyerang, dan kita menyerang juga, maka apa beza kita dengan haiwan? Kalau seekor kucing menyerang, seekor lagi akan menyerang," ujarnya.

Justeru katanya, masyarakat perlu mencontohi sifat Nabi Muhammad S.A.W yang membalas kebaikan ke atas kejahatan yang diterima Baginda dan perkara itu perlu diterjemahkan dalam berdepan dengan golongan anti-vaksin.