SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor membuat ketentuan untuk mengikuti dasar kemasukan murid tahun satu Kementerian Pendidikan (KPM) seawal umur enam tahun untuk sesi persekolahan 2027 membabitkan sekolah di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini berkata persediaan membabitkan pertambahan bilangan guru dan penaiktarafan kemudahan sekolah akan dilaksanakan bagi menerima tambahan murid tahun satu itu.
Advertisement
Beliau berkata persediaan merangkumi antaranya cadangan untuk mengesan dan mengoptimumkan penggunaan bilik darjah hingga 45 murid di dalam satu kelas.
“Kedua ialah cadangan menyelaras data murid dan mengesan kawasan yang mempunyai penduduk padat bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan ketiga ialah mengenal pasti keperluan penambahan guru,” katanya di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Amirudin menjawab pertanyaan Noor Najhan Mohamad Salleh (PN-Sementa) yang ingin tahu persediaan guru dan kemudahan sekolah di bawah JAIS untuk menerima murid tahun satu berumur enam tahun pada 2027 mengikut garis panduan KPM.
Dalam pada itu, Amirudin berkata antara cadangan lain adalah untuk menambah dan mewujudkan tiga sesi persekolahan daripada dua sesi persekolahan mengikut kesesuaian serta menyediakan pembinaan infrastruktur tambahan seperti tambahan bilik darjah bagi menampung pertambahan murid.
“Kita jangka hampir 80,000 permohonan murid bagi sesi persekolahan tahun satu 2027 dan diunjurkan kekurangan 880 guru.
“Sekarang ini, satu daripada strategi kita ialah menambah bilangan guru supaya kita dapat mengisi (kekurangan) berdasarkan kemampuan dan kedudukan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata keseluruhan bangunan sekolah di bawah JAIS adalah selamat serta sesuai digunakan dan kerajaan negeri bersedia memberikan bantuan baik pulih sekiranya terdapat permohonan daripada pihak sekolah atau Bahagian Pendidikan JAIS.
Pada 20 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 mengumumkan bahawa bermula tahun depan, kanak-kanak berusia enam tahun boleh mengikuti pembelajaran di tahun satu, namun tidak diwajibkan dan bergantung pada ibu bapa.
-- BERNAMA