QUITO: Ecuador kembali menambah kehadiran tenteranya di seluruh negara susulan peningkatan insiden keganasan di negara itu.

Presiden Daniel Noboa juga telah mengisytiharkan darurat selama 60 hari dan menamakan 22 kumpulan sebagai kumpulan pengganas.

Ini susulan insiden beberapa siri letupan di seluruh negara dan pengambilalihan stesen televisyen utama.

Ecuador berada dalam darurat sejak 8 Januari lalu.

Pihak berkuasa turut menetapkan perintah berkurung untuk seluruh negara dari jam 11 malam hingga 5 pagi selama 60 hari atau lebih.

Pentadbiran Noboa mendakwa keganasan berpunca daripada tindak balas kumpulan samseng terhadap rancangan untuk menangani keadaan keselamatan yang teruk.

Pasukan tentera Ecuador telah meningkatkan kehadiran tenteranya terutamanya di kawasan sempadan berkongsi dengan Colombia, dengan melakukan pemeriksaan kenderaan yang ketat.

Kerajaan Noboa menyalahkan situasi keselamatan yang semakin merosot disebabkan peningkatan pengedaran dadah melalui Ecuador, yang bersempadan dengan Colombia dan Peru, yang menghasilkan kokain dan telah menjadi pusat penghantaran dadah utama.

Antara tindakan yang membawa kepada situasi darurat ini juag suslan tindakan sekumpulan penjenayah memecah masuk studio sebuah stesen televisyen yang sedang bersiaran secara langsung di Ecuador.

Kumpulan penjenayah itu memaksa kakitangan stesen televisyen itu berbaring di lantai dan menghentikan siaran langsung rancangan berkenaan.

Situasi di penjara negara berkenaan juga tegang susulan 178 pegawai penjara telah dijadikan tebusan oleh banduan mereka sendiri.

Dua daripada mereka maut manakala lima banduan lain turut terkorban.

Bagaimanapun situasi terkini di bandar utama negara itu dilihat kembali normal.

Orang ramai juga melakukan aktiviti santai sambil tidak menepis bahawa mereka inginkan kehidupan seperti dahulu untuk menggerakkan ekonomi tempatan.

Pejabat Presiden setakat ini melaporkan bahawa sejak darurat bermula, pasukan keselamatan telah menjalankan lebih 7,800 operasi dan melakukan 859 tangkapan.