WASHINGTON: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam cuaca buruk yang melanda sebahagian besar kawasan Tenggara Amerika Syarikat, pada Selasa.

Perkembangan itu memaksa Gabenor Florida Ron DeSantis mengisytiharkan darurat selepas berlaku beberapa siri puting beliung yang menyebabkan kerosakan besar di negeri berkenaan.

Peramal cuaca memberi amaran bahawa lebih banyak puting beliung akan berlaku seperti yang diramalkan dari Florida hingga Virginia, lapor United Press International (UPI).

DeSantis, yang mengisytiharkan darurat bagi 49 daripada 67 daerah di Florida turut mengerahkan 'Florida State Guard' atau pasukan pertahanan negeri itu pada Isnin.

Ribut yang melanda pada awal pagi Selasa merosakkan bangunan, menumbangkan pokok dan menyebabkan ribuan penduduk terputus bekalan elektrik di beberapa negeri.

Seorang wanita berusia 81 tahun meninggal dunia di Alabama dan beberapa bangunan musnah selepas puting beliung dilaporkan melanda Cottonwood.

Menurut polis seorang lelaki juga terbunuh di utara Georgia selepas pokok besar tumbang dan menghempap keretanya di Clayton County.

Selain itu mangsa ketiga dilaporkan terbunuh di Claremont, Carolina Utara selepas kawasan itu dilanda angin kencang yang merosakkan beberapa kediaman.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan masih menilai sama ada ribut itu adalah puting beliung.

Sementara itu, walaupun tiada kematian dilaporkan di Florida, beberapa orang penduduk dilaporkan cedera di bandar Marianna.

-- BERNAMA