KUALA LUMPUR: Dasar Buku Negara diteliti semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata ini kerana beberapa elemen penting yang digariskan dalam Dasar Buku Negara antaranya berkaitan pembudayaan membaca, penerbitan dan pembukuan tidak pernah disemak sejak dasar itu diperkenalkan 39 tahun lepas iaitu pada 27 Nov 1985.

"Kami sedang melihat secara tuntas... jawatankuasa (bagi merangka dasar baharu) sudah pun digerakkan dan Dasar Buku Negara baharu akan dimuktamad pada tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku kanak-kanak dan remaja sempena Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Bahasa Melayu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di sini hari ini.

Pada majlis itu, Fadhlina turut mengumumkan peruntukan RM2 juta daripada Dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN) bagi menggalakkan penerbitan buku kanak-kanak di dalam negara.

Beliau berkata penerbit yang berminat boleh memohon dan menyediakan cadangan penerbitan buku kanak-kanak yang bersesuaian bagi dipertimbangkan sebuah jawatankuasa.

"Saya yakin bahawa gerakan dan dana ini mampu menyuntik semangat penerbit untuk menerbitkan buku kanak-kanak yang berkualiti tinggi," katanya.

-- BERNAMA