PUTRAJAYA: Dasar domestik sangat kritikal dalam usaha kerajaan membangunkan kedudukan negara bagi menjamin pengurusan ekonomi yang lebih baik dan pada masa yang sama, mengelakkan ketirisan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata adalah penting untuk kerajaan, terutama sekali Kementerian Kewangan menumpukan sepenuh perhatian kepada tatakelola serta pengurusan ekonomi yang baik bagi mengelakkan ketirisan dan mempercepat proses kelulusan pembangunan.

“Untuk keluarga Kementerian Kewangan, kita tidak boleh lari daripada fokus yang sedemikian,” kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar berkata reformasi yang dilaksanakan dalam mengurangkan ketirisan dan meningkatkan tadbir urus membolehkan kerajaan memperkasakan bantuan kepada rakyat, termasuk penyelarasan gaji penjawat awam kerana ia memberikan keyakinan baharu dan mengiktiraf kebajikan rakyat.

Sementara itu, beliau berkata negara memerlukan ruang fiskal yang mencukupi bagi menjamin kesejahteraan dan pada masa yang sama, darjat hidup rakyat dapat ditingkatkan.

Terdahulu, dilaporkan bahawa kerajaan MADANI mendepani kekangan fiskal disebabkan hutang negara yang mencecah RM1.2 trilion iaitu hampir 65 peratus keluaran dalam negeri kasar.

-- BERNAMA