PUTRAJAYA: Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 akan dilancarkan pada 11 Mac ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sehubungan itu kerajaan sedang mengkaji DPTN terdahulu yang dilancarkan pada 2016 bagi memastikan terdapat penyelarasan dari segi kaedah pengajaran dalam institusi tahfiz.

Menurutnya DPTN yang dilancarkan sebelum ini adalah sebagai garis panduan dalam pengurusan pendidikan tahfiz di Malaysia dengan mengambil kira Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peraturan negeri-negeri di Malaysia.

"Melalui DPTN, kerajaan mahu pastikan golongan huffaz tidak hanya bekerja sebagai imam, guru atau bidang berkaitan, sebaliknya kerajaan mahu mewujudkan kerjaya profesional kepada mereka.

"Kita mahu hasilkan pemimpin negara dan ahli profesional dari kalangan huffaz sekali gus mengangkat martabat mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Tokoh Personaliti Quran di sini malam ini.

Pada majlis itu Ahmad Zahid menyampaikan Anugerah Personaliti al-Quran kepada sembilan penerima dari dalam dan luar negara, antaranya bekas ketua umum Maqari' Mesir Syaikh Dr Ahmad Eisaa al-Ma'sarawi, Menteri Kanan (Hal Ehwal Agama Islam) Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan, dan Pensyarah Kanan Akademi Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia Datuk Dr Norhafizah Musa.

Pada majlis itu juga sebanyak RM308,000 disumbangkan 14 individu dan syarikat korporat bagi menjayakan program wakaf al-Quran.

-- BERNAMA