Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberi bayangan kemungkinan bertanding Jawatan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti berkenaan Oktober ini.

Beliau akan membuat pengumuman berhubung perkara itu tidak lama lagi menerusi Twitter atau Facebook.

Setiausaha Barisan Nasional Sabah itu berkata menawarkan diri untuk jawatan MT UMNO adalah satu tanggungjawab yang amat besar.

Keputusan itu perlu difikirkan dan tidak boleh dibuat dengan hanya memikirkan tentang diri sendiri.

Abdul Rahman yang juga anggota parlimen Kota Belud, berkata sekiranya bertanding beliau mahu memberikan sumbangan kepada parti dan bukan sekadar memanaskan kerusi terutama dalam senario politik yang berbeza sekarang.