DBKL sita 12 buah gerai penjaja tanpa lesen

Penguatkuasa DBKL sedang menyita gerai penjaja dan aktiviti perniagaan dalam tindakan khas penguatkuasaan terhadap penjaja tanpa lesen. - Facebook DBKL
KUALA LUMPUR : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 12 gerai penjaja dan aktiviti perniagaan dalam tindakan khas penguatkuasaan terhadap penjaja tanpa lesen serta penglibatan warga asing yang menghalang penggunaan tempat awam di sekitar Jalan Gombak, Jalan Wangsa Melawati dan Jalan Prima Setapak, pada Khamis.
Berdasarkan kenyataan DBKL di Facebook, operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan dan siasatan ke atas aktiviti perniagaan makanan, minuman serta barangan am yang didapati beroperasi tanpa lesen selain membuat halangan di laluan siar kaki, petak parkir dan kawasan awam.
"DBKL turut mengesan beberapa aktiviti perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing, sekali gus melanggar syarat perlesenan dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
"Hasil tindakan penguatkuasaan tersebut, kesemua 12 gerai penjaja berkenaan dikenakan tindakan sita serta-merta atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Perlesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974," menurut kenyataan itu.
Difahamkan, antara peralatan perniagaan yang disita termasuk gerai beroda, kerusi, meja, tong gas, dapur, khemah, buah-buahan serta pelbagai peralatan lain yang digunakan bagi tujuan perniagaan.
Semua barangan sitaan dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras bagi tujuan rekod dan dokumentasi.
DBKL memaklumkan pihaknya akan meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan di lokasi-lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti bagi memastikan pematuhan undang-undang serta kelancaran penggunaan ruang awam.
Orang awam yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkaitan boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi DBKL.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


