KUALA LUMPUR:Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan tegas terhadap pelesen yang menyalah guna atau menyewakan lesen kepada warga asing.

DBKL dalam kenyataannya menegaskan tindakan penguatkuasaan termasuk menyita, membatalkan lesen perniagaan dan menamatkan kontrak perjanjian akan dikenakan jika didapati menggaji atau membenarkan perniagaan mereka diurus warga asing.

“DBKL selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dipertanggungjawabkan dalam urusan pentadbiran lesen perniagaan di Kuala Lumpur akan mengambil tindakan tegas terhadap pelesen yang menyalah guna atau menyewakan lesen kepada warga asing.

“Pelesen di sekitar Kuala Lumpur termasuk di Pasar Harian Selayang tertakluk kepada peruntukan Undang-Undang Kecil Pasar (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, di mana tindakan penguatkuasaan termasuk sita, membatalkan lesen perniagaan dan menamatkan kontrak perjanjian dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur boleh diambil jika didapati menggaji atau membenarkan perniagaan mereka diurus oleh warga asing,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

DBKL menambah pelesen juga akan disenarai hitam daripada memohon lesen baharu.

“Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Jabatan Intergriti DBKL (JIT) sentiasa memantau dengan rapi isu-isu yang melibatkan penyalahgunaan kuasa ke atas semua pihak yang terlibat,” jelas kenyataan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini bertegas untuk mengekalkan pendirian tidak membenarkan pengambilan pekerja warga asing di Pasar Borong Selayang di sini walaupun ada pemborong yang mengemukakan surat rayuan bagi tujuan berkenaan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, DBKL berkata satu notis kompaun kesalahan AKT. 1976, Seksyen 82 (5) telah dikeluarkan terhadap pemaju kerana menyebabkan pencemaran di Taman Tasik Metropolitan, Kepong.

Menurut DBKL, hasil siasatan mendapati terdapat sedimen terampai dan ikan mati kelihatan pada permukaan air tasik tersebut.

“Bacaan insitu terhadap air di dalam tasik menunjukkan air tasik tersebut kekurangan oksigen yang telah menyebabkan ikan-ikan mati.

“Faktor pembangunan bersebelahan kawasan tasik tersebut berkemungkinan punca yang menyebabkan kemerosotan kualiti air tasik,” jelas DBKL.

Tambah DBKL, ketika ini, pihaknya menjalankan kerja-kerja pembersihan ke atas tasik tersebut setiap hari.

“DBKL juga menggunakan kaedah melempar bola lumpur ke dalam tasik bagi memastikan kandungan air berada pada tahap yang sesuai.

"Manakala untuk jangka masa panjang, kerja-kerja memasang air pancut akan dilaksanakan bagi membantu meningkatkan oksigen di dalam air tasik tersebut,” katanya.