KUALA LUMPUR: Debat Perdana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak disifatkan sebagai budaya yang mampu mematangkan demokrasi dalam negara.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, budaya yang dibawa kedua tokoh politik itu merupakan budaya sihat dalam memberikan pendedahan kepada rakyat mengenai sesuatu isu yang hangat dibincangkan masyarakat.

"MBM memandang budaya debat ini satu budaya sihat yang dapat mematangkan lagi demokrasi dalam negara kita, apatah lagi debat kali ini menampilkan tokoh tokoh politik besar dalam negara ini.

"Debat salah satu cara untuk semua pihak dapat membentangkan idea dan hujah kepada khalayak awam, dan bukan hanya sekadar berselindung di sosial media semata mata.

"Dengan debat, rakyat dan khalayak awam akan dapat melihat mengkaji hujahan yang dibawa oleh para pendebat dan tidak lagi menyokong tanpa usul periksa," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, pada Selasa.

Meskipun debat kali ini berkisar mengenai usaha menyelamatkan syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia, Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) namun, kata Mohd Izzat isu nasional seperti itu ujarnya perlu diperjelaskan kepada rakyat.

"Ramai anak muda berharap agar isu-isu nasional lain turut dibincangkan bersama, yang jauh lagi menekan dan mengesan rakyat seperti isu kos sara hidup, pengangguran dan sebagainya.

"Anak muda juga berharap agar tokoh yang berdebat nanti tidak menggunakan platform ini untuk mencari populariti semata-mata, termasuklah mencadangkan idea populis yang akhirnya, tidak mendatangkan manfaat kepada negara," jelasnya lagi.

Malah kedua tokoh politik berkenaan ujar Mohd Izzat lagi, seharusnya menggunakan bahasa yang lebih mudah difahami lapisan masyarakat dan tidak terlalu teknikal.

"Dan juga isu sapura ini juga harus diterangkan dalam bahasa yang mudah dan difahami oleh lapisan masyarakat, dan tidak terlalu teknikal yang mungkin sukar difahami masyarakat awam.

"Kesimpulannya, kita raikan debat sebagai salah satu cara politik matang dalam negara ini dan cara untuk rakyat lebih faham tentang satu satu isu yang dibawa ahli politik," kata Presiden MBM itu lagi.

Debat Perdana Anwar-Najib bakal diadakan di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) di ibu negara, Khamis (12 Mei) ini. 

Debat berkenaan akan disiarkan secara langsung di Saluran 501, platform media sosial dan platform Digital Astro AWANI bermula jam 8 malam.