Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak berminat untuk menyiarkan debat secara langsung antara Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata kementeriannya tidak menghalang kepada mana-mana stesen televisyen lain yang berhasrat untuk menyiarkan debat tersebut.

"Tidak ada soal diadakan siaran langsung atau tidak. Pada saya dalam keadaan sekarang RTM tidak berminat secara langsung debat antara mereka.

"Bagaimanapun terserah kepada stesen-stesen (televisyen) lain kalau mereka berminat.

"Kita tidak ada halangan untuk stesen lain menganjurkan secara langsung tapi kita RTM tidak akan berbuat demikian," katanya ketika ditemui media di perkarangan Kamar Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

Jelas Salleh, RTM tidak lagi berminat untuk menyiarkan debat tersebut kerana kemelut 1MDB telah dijawab kepada Parlimen menerusi Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Laporan Ketua Audit Negara.

"Saya sebenarnya tidak faham apa lagi yang dibahaskan dalam isu 1MDB ini dan laporan PAC telah dibentangkan ke Parlimen. Jika ada pihak yang berminat untuk membahaskan boleh berbuat demikian dalam sidang Parlimen.

"Pada saya isu untuk menyiarkan secara langsung bagi perbahasan antara Tony Pua dan Arul tidak berbangkit di RTM pada ketika ini.

"Kita tidak berminat kerana pada kita, isu 1MDB telahpun selesai penyiasatannya oleh PAC dan begitu juga oleh Ketua Audit Negara dan sekarang telah dibentangkan di Parlimen," jelas Salleh.

Tambahnya, kemelut yang melanda 1MDB pada ketika ini adalah diantara syarikat itu dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) dan ia bersifat dalaman.

"Apa yang berlaku sekarang ini adalah lebih kepada satu kemelut, satu kemelut perniagaan di antara 1MDB dan IPIC. Itu yang kita lihat pada masa kini. Isu-isu lain tidak ada lagi," ujar Salleh.

Tony yang juga Ahli PAC hari ini meminta Salleh untuk menawarkan semula siaran lansung debat antara beliau dan Arul sama ada di RTM atau TV3 seperti yang ditawarkan pada Oktober lalu.

Namun, hasrat itu terbatal apabila Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan akan meletakkan jawatan jika perdebatan itu diteruskan sebelum PAC melengkapkan siasatan mereka.