NATIONAL
Definisi, pengelasan T15 akan diputuskan dalam masa terdekat - Rafizi

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Cadangan berkaitan definisi dan pengelasan kumpulan pendapatan T15 sedang diperhalusi dan akan diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam masa terdekat, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini.
Ringkasan AI
- Cadangan definisi dan pengelasan kumpulan pendapatan T15 sedang diperhalusi dan akan diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
- Pendekatan baru berdasarkan pendapatan boleh guna bersih akan menggantikan pendekatan berdasarkan pendapatan kasar (B40, M40, T20) untuk pemberian bantuan dan subsidi kerajaan.
- Penggunaan konsep Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) akan membantu dalam perancangan sosioekonomi, penentuan gaji yang lebih adil, dan memastikan bantuan diberikan kepada golongan yang benar-benar layak.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Baharuddin Ahmad mengenai perincian kerajaan berkenaan golongan T15 yang berdepan penarikan balik subsidi bahan api, pendidikan dan kesihatan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2025.
Rafizi berkata definisi dan mekanisme pengelasan golongan T15 berdasarkan pendapatan boleh guna bersih boleh disediakan menggunakan maklumat dalam sistem PADU dengan mengambil kira elemen perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW).
Beliau berkata PAKW merujuk kepada amaun perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah untuk menjalani kehidupan wajar yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak serta berpeluang menyertai aktiviti sosial dalam masyarakat.
PAKW juga boleh memperjelas mengenai kos sara hidup di kawasan berbeza antara negeri, menjadi indikator dalam perancangan dan pembangunan sosioekonomi, serta dalam penentuan gaji yang lebih adil di samping membantu individu dan keluarga merancang perbelanjaan dan pengurusan kewangan isi rumah, katanya.
Rafizi berkata penggunaan PAKW boleh membantu mengurangkan ralat keciciran dalam pengagihan bantuan dengan memastikan golongan yang benar-benar layak sahaja menerima bantuan.
"Saya berharap melalui maklumat kewangan isi rumah yang lebih baik, kita boleh perluas kepada pelaksanaan-pelaksanaan lain termasuk subsidi haji yang boleh menggunakan data dan pengelasan yang lebih adil kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami