KAHERAH: Delegasi Hamas dilaporkan kini berada di Kaherah, Mesir, untuk rundingan gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

Namun beberapa syarat rundingan kekal, termasuk keinginan Israel untuk meneruskan operasi ketenteraaan di Rafah.

Delegasi Hamas tiba di Kaherah pada Sabtu untuk bertemu pasukan pengantara dari Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat.

Ini susulan cadangan terbaharu yang akan menghentikan perang di Gaza selama 40 hari dan pertukaran tahanan Palestin dengan Israel.

Menurut sumber Al Jazeera, rundingan kini berada di fasa kritikal.

Jurucakap kanan Hamas Osama Hamdan memaklumkan rundingan mencapai beberapa perkembangan positif.

Di pihak Israel, ia mengulangi kenyataan di sebalik rundingan yang berpotensi dipersetujui, iaitu akan meneruskan pencerobohan di Rafah.

Sebelum ini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan agensi bantuan mengeluarkan amaran operasi darat di Rafah akan mencetuskan bencana buat 1.5 juta penduduk yang berlindung di kawasan itu.