ALOR SETAR: Setiap tahun, bazar Ramadan Stadium Darul Aman di sini tidak pernah sunyi daripada menerima kunjungan orang ramai.

Kesesakan sentiasa dilihat berlalu kerana orang ramai yang tidak sempat memasak akan mengunjungi bazar berkenaan untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.

Antara gerai yang sering menjadi tumpuan ramai di bulan puasa ialah gerai menjual martabak.

Kerana sudah terbukti keenakannya, gerai ‘Murtabak Rose’ yang diusahakan Abdul Hazani Ismail, 44, cukup dikenali ramai.

Masakan tidak, resepi ‘Murtabak Rose’ itu mula diperkenalkan oleh bapanya pada 1970 dan sehingga kini sudah 52 tahun rasa yang sama masih dikekalkan oleh Abdul Hazani yang mewarisi perniagaan itu.

“Martabak isi ayam dan daging di gerai in padat serta dicampur rempah ratus dan ramuan tradisi turun temurun menjadikan ia kegemaran orang ramai.

"Dengan harga RM5 setiap hari saya mampu menjual antara 600 biji martabak dalam tempoh tidak sampai dua jam," kata Abdul Hazani ketika ditemui di sini, hari ini.

Abdul Hazani Ismail mewarisi perniagaan menjual martabak daripada ayahnya. – Gambar Astro AWANI

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Sepanjang bulan Ramadan, gerai ‘Murtabak Rose’ Abdul Hazani di bazar berkenaan akan memulakan operasi pada pukul 3.30 petang

Katanya, sebelum ini penggemar ‘Murtabak Rose’ boleh mendapatkan di gerainya yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim namun sejak ditutup, orang ramai hanya boleh membelinya pada bulan puasa sahaja.

Selain di Bazar Stadium Darul Aman, dia turut membuka cawangan di bazar Taman PKNK.

Sementara itu bagi pelanggan, Norisa Ahmad Kamal, 37, berkata, sejak merasai keenakan ‘Murtabak Rose’ sejak 15 tahun lalu dia tidak pernah ketinggalan untuk mendapatkannya setiap hari.

“Setiap hari selepas saya berniaga saya akan datang awal ke bazar ini untuk membelinya.

“Suasana beratur panjang tidak jadi masalah janji saya dapat pulang membawa ‘Murtabak Rose’ sebagai juadah sampingan ketika berbuka puasa,” katanya.

Bagi Ahmad Shuid Ramli, 46, pula, ‘Murtabak Rose’ sudah terbukti enak lantaran pengusahanya masih mengekalkan resepi yang sama sejak tahun 1970.

"Rasanya sedap dan lain dari yang lain  berbanding murtabak lain menyebabkan ia menjadi kegemaran saya dan anak-anak,” katanya lagi.

Gerai 'Murtabak Rose' antara yang sangat popular di bazar Ramadan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah. - Gambar Astro AWANI